Tag Archives: Pendita Za’aba

Sudut Pandang

Lama benar bergelandangan di jalan-jalan yang masih menjadi lubuk korban. Jari semakin kaku untuk menulis. Hari-hari pasca-Sejahtera yang saya lalui membawa saya kepada dimensi yang kadang-kadang saya sendiri tidak mengerti dan kadang-kadang tidak mahu peduli. Tetapi, mahu tidak mahu, saya harus lalui dengan berani!

Sudut Pandang (Gambar dari kekuatanraksasa.blogspot.com)

Mutakhir ini, ada yang bertanya apakah saya kecewa? Ada pula menuduh saya telah tergelincir dari landasan. Ada juga mempersoal kesetiaan saya pada Sang Saka Bangsa. Semuanya gara-gara sudut pandang saya yang sudah dianggap tidak sehaluan dengan mereka!

Selama hampir 26 tahun diberikan nyawa, saya sentiasa berpegang pada kesederhanaan. Siapa tidak mahu menang? Siapa pula mahu kalah? Tetapi, soal kalah dan menang pada saya adalah nombor dua. Nombor satu: bagaimana cara saya berjuang atau berperang. Akibat kesederhanaan dan diplomasi, maka saya lebih banyak melihat dan mendengar dari berbicara. Atau menjeruk rasa. Ini bukan soal perasaan putus cinta, ini perasaan pada bangsa dan negara.

Sering saya persoal kini, kenapa majoriti bangsa saya tidak mahu melihat sudut pandang yang berbeza? Gemar menghukum daripada melihat akar masalah. Cenderung menyokong pasukan masing-masing lalu bertegang urat menegak benang yang basah. Kawan-kawan, sesungguhnya, melihat dari sudut pandang yang berbeza adalah lebih sengsara daripada melihat dari satu sudut pandang sahaja. Biarpun sengsara, saya pilih sudut pandang berbeza dan membuang ego dan ideologi atau fahaman kerana saya mencari kebenaran, bukan bersenang-lenang disogok penipuan. Benar, kita selama ini hidup dalam negara yang aman damai. Kerana keamanan itu, kita telah dilingkari dengan rasa selesa. Malas untuk berfikir. Tak perlu bersuara. Semuanya kita serahkan pada sang penguasa. Lalu, kita sendiri tidak sedar bila tanah berekar tinggal sekangkang kera! Yang mahu bangkit dan tersedar, dituduh “pengkhianat bangsa”.

Kata-kata ini saya serikan dengan petikan kata-kata Pendita Za’aba dalam bukunya “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri”:

… Umpamanya dalam medan politik orang bersalah-salahan faham: ada orang fahaman ‘Conservative’ (cara lama, tak suka perubahan) ada orang berfaham ‘Liberal’ (luas dan lapang), dan ada pula sosialis; ada orang berfaham ‘Demokrat’, ada berfaham ‘Republikan’; ada orang berfaham seperti “UMNO” dan ada orang seperti “PAS” dan lain-lain lagi. Tetapi tidaklah tiap-tiap kepala berfahaman lain, dan bukan semua orang boleh jadi “kepala” dan “ikutan” yang membawa fahaman sendiri. Yang kebanyakannya ialah jadi pengikut juga, iaitu menyokong fahaman yang ia bersetuju (bukan bertaklid buta). Maka kepala-kepala itu berselisih hanya pada fahaman dan jalan; tetapi asas dan tujuannya satu juga iaitu hendak mendapat kebajikan bagi rakyat dan negara dengan menjadikan negeri dan pemerintahan itu sebagai alatnya. Maka hanya jika tiada dipakai asas itu atau jika diterbalikkan dia — umpamanya rakyat dijadikan alat bagi memperoleh kebajikan negara dan pemerintahan; maka baharulah terbit faham yang salah dan sesat dan merbahaya seperti fahaman komunis atau lain-lain sebagainya.

 Tulisan saya ini adalah untuk mengajak orang-orang yang berbeza sudut pandang dengan saya untuk melihat pada sudut pandang yang berbeza. Kalau dulu selalu baca Harakah dan Suara Keadilan, buka-bukalah Berita Harian dan Utusan. Kalau selalu baca The Star, jenguk-jenguklah MalaysiaKini. Kalau biasa mengopi di Starbucks atau Coffee Bean, turun-turunlah ke Rengit Kopitiam atau OldTown White Coffee. Apa ada pada ketaksuban? Apa ada pada keganasan dan sengketa? Malaysia hari ini adalah sangat kompleks. Bergantung kepada kalian untuk melihat dari sudut pandang yang mana.

(Nota Kaki: Sepandai-pandai tumpat melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah jua. Kecewanya saya melihat kekejaman video amatur di YouTube pada tanggal 28 April masih belum terubat. Carilah dotdotdot: The Truth kalau anda ingin merasa apa yang saya rasa.)

Advertisements

Tinggalkan komen

Filed under Isu