2010 in review

The stats helper monkeys at WordPress.com mulled over how this blog did in 2010, and here’s a high level summary of its overall blog health:

Healthy blog!

The Blog-Health-o-Meter™ reads This blog is doing awesome!.

Crunchy numbers

Featured image

A Boeing 747-400 passenger jet can hold 416 passengers. This blog was viewed about 1,700 times in 2010. That’s about 4 full 747s.

In 2010, there were 15 new posts, growing the total archive of this blog to 37 posts. There were 25 pictures uploaded, taking up a total of 8mb. That’s about 2 pictures per month.

The busiest day of the year was December 17th with 39 views. The most popular post that day was Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Where did they come from?

The top referring sites in 2010 were facebook.com, batupermataimpian.blogspot.com, berkatrezeki.com, search.conduit.com, and google.com.my.

Some visitors came searching, mostly for pierluigi collina, collina, senarai huruf jawi, haziqah nasirah, and adnan sempit.

Attractions in 2010

These are the posts and pages that got the most views in 2010.

1

Hantu Kak Limah Balik Rumah December 2010

2

Sepak Mula November 2008
5 comments

3

ADNAN SEMPIT: Menang Kulit, Kalah Isi! January 2010
2 comments

4

TULISAN JAWI September 2009
1 comment

5

JANGAN Bakar Bendera MALAYSIA! September 2009
6 comments

Advertisements

4 Komen

Filed under Isu

Hantu Kak Limah Balik Rumah

 

Memang berhantu Hantu Kak Limah Balik Rumah! Tempat duduk barisan tengah dan atas di TGV KLCC penuh! Buah tangan terbaru pengarah Mamat Khalid nampaknya menggegarkan panggung. Hasil carian rambang internet yang saya lakukan, hari pertama tayangan filem hantu tapi bukan hantu ini mencecah RM 1 juta. RM 1 juta?! Wowww.. Filem ini langsung tiada dalam senarai filem yang ingin saya tonton, tetapi memandangkan tiket percuma yang masih berbaki, ditambah dengan ‘kaunter ekspres’ yang saya cipta sendiri walaupun orang ramai lenguh kaki beratur, maka masuklah saya ke dalam dunia Kampung Pisang. Saya ingin melihat sendiri filem kelakar dan ketawa berdekah-dekah yang sedang hangat dikedaikopikan ini.

Sebenarnya, saya takkan tengok filem seram atau hantu. “Jangan Pandang Belakang” – pelopor filem hantu Malaysia, tak pernah saya tonton! Tapi kerana ingin merasa penangan Hantu Kak Limah, saya gagahkan juga. Babak-babak awal agak meremangkan bulu roma. Untuk mengelakkan terkejut atau menjerit terperanjat, maka saya buka cermin mata dan buat-buat menggenyeh mata. Jadi, saya cuma nampak skrin hitam yang kabur. Ketika Hantu Kak Limah tidur di sebelah Husin, saya sedang buat-buat menyapu tangan di muka (sebenarnya tutup mata). Hehehe..

Oleh kerana saya bukan pelajar perfileman, penggiat seni atau penulis skrip, maka tulisan saya ini adalah bersandarkan kepada pemerhatian dan pendapat sebagai seorang pencinta filem. Mudah kan? Tak perlu untuk saya ceritakan plot dan aspek teknikal filem ini, tapi saya nak kongsi apa yang saya lihat dan rasa. Sebenarnya, saya cuma melihat, tetapi saya tak dapat merasakan sentuhan seni filem ini. Ada la ketawa sikit masa permulaan cerita, tapi 10-20 minit dah mula rasa bosan. Orang ramai berdekah-dekah tetapi saya masih tidak dapat merasakan aura ‘geli hati’ atau ‘kelakar’ atau ‘mencuit rasa’ atau ‘lucu’!

Saya telah menonton Estet dan pernah saya tulis sebelum ini yang mana saya kurang suka, kurang selesa dan kurang setuju dengan adegan ‘cium bahu’ dua watak lelaki. Dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah, saya rasa kalau takde baju dalam (atau coli) yang terbang melayang dan terkena muka Awie dan pelakon-pelakon lain pun, filem ini tak terjejas. Siap Pak Abu (Zami Ismail) sorokkan coli dalam poket baju Melayu dia lagi. Apa kaitan dengan lawak? Lawak lucah? Atau lawak memanipulasi wanita???? Sama juga dengan kehadiran watak Hantu Susu atau Hantu Tetek (CGI) yang dihidupkan secara tiba-tiba. Sengaja nak guna resepi lawak lucah Hollywood dan memanipulasi tubuh wanita seperti filem Bollywood? (Saya perasan kamera banyak fokus kepada bahagian dada Kak Limah dan Ayu.)

Usop – lelaki lembut yang ‘terkulai’ tangannya buat saya menyampah dan rasa nak hempuk! Bila beri arahan bakar rumah Kak Limah, boleh pula si Usop bersuara jantan!

Ada beberapa mesej yang dapat saya kesan dalam filem hantu tapi bukan hantu ini. Mesej pertama: pemimpin tua haruslah beri peluang kepada orang muda jika tidak mampu memimpin. Mesej kedua: mana ada hantu? Hantu tak wujud. Masyarakat (Melayu) suka menyempitkan fikiran dengan hantu yang karut-marut. Ini yang dikatakan oleh watak Husin. Saya tersenyum bila Husin ada menyebut “Singapore takde hantu, yang ada cuma HANTU TUA…” Saya faham dan amat mengerti SIAPA yang dimaksudkan Husin itu. Mesej ketiga: Jadikan diri berguna, berusaha untuk berjaya walaupun terpaksa putus tunang dan merantau. Mesej keempat: Kalau dapat mikrofon, JANGAN MERAPU dan CAKAP PANJANG BERJELA! Ini yang paling saya suka:)

Saya mengerti setiap orang punya kesukaan dan pandangan yang cukup berbeza. Kalau semua konsensus, maka amanlah dunia, hilanglah warna-warninya! Kesukaan saya adalah filem-filem yang memberi inspirasi, pengajaran dan fakta. Pandangan saya terhadap filem: “Sebuah filem adalah seperti pengembaraan mendaki gunung. Perjalanan bermula dengan berjalan, mendaki bukit, memanjat puncak dan berjalan turun. Dalam kembara itu, berbagai-bagai flora-fauna yang dilihat, digapai dan dirasai sehingga warna-warna itu menghilangkan penat lelah mendaki.” Saya juga faham, Mamat Khalid bukan bikin filem untuk saya, kesukaan saya dan pandangan saya; tetapi Mamat Khalid bikin filem untuk CITARASA KHALAYAK PENONTON MALAYSIA yang mampu memecahkan panggung  dan memberi pulangan box-office kepada pembikin filem. Tak gitu?

Akhirul kalam, syukur saya tidak TRAUMA dengan Hantu Mak Limah Balik Rumah. Cuma tidak terkesan di jiwa saya. Tidak juga saya membenci, mencaci atau mengeji kerana ini seni Mamat Khalid. Cuma seni Mamat Khalid bukan untuk saya:)

Saya akan menjadi penanti yang setia – menanti bilalah saya boleh mengembara dalam filem Malaysia!

5 Komen

Filed under Isu

Terima Kasih. Terima Kasih. Terima Kasih.

Terima kasih kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan Unit Perancang Bandar (jika berkaitan) kerana berjaya merancang jalan Johor Bahru-Kota Tinggi yang ‘TERBAIK’!

Terima kasih kepada JKR kerana projek pembinaan jalan Johor Bahru-Kota Tinggi yang tidak siap-siap sejak sekian lama.

Terima kasih kepada KONTRAKTOR pembinaan jalan Johor Bahru-Kota Tinggi yang telah menyimpang-siurkan laluan. Terima kasih kerana melambat-lambatkan projek yang entah bila akan menemui titik noktahnya.

Terima kasih kepada sekalian pemandu yang tiada timbang rasa dan pentingkan diri dengan mengikut jalan pintas dan mengambil hak pemandu-pemandu yang berada di jalan yang benar. Terima kasih, itulah yang membezakan mentaliti masyarakat Malaysia dengan masyarakat negara dunia pertama!

Terima kasih Polis Trafik yang menjawab panggilan telefonku dengan nada yang layu dan mungkin sekadar pengharapan. “Ya, kami akan hantar anggota ke sana.” Terima kasih.

Terima kasih  kepada kesesakan berjam di jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, terima kasih pada papan tanda “KESULITAN INI UNTUK KESENANGAN MASA HADAPAN”.

Tinggalkan komen

Filed under Isu

2 Alam: Apa yang “2 Alam”nya?!

2 ALAM adalah filem yang saya tunggu-tunggu. 18 November 2010, saya menjadi orang terawal yang memanaskan kerusi panggung di TGV KLCC untuk menonton tayangan pertama jam 11.45 pagi. Tak ramai pun yang memenuhkan panggung, sekitar 8-10 orang sahaja.

Mukaddimah filem ini agak hebat. Ibu kepada Adam atau Amy lakonan Rosnah Johari duduk terjelepok selepas menerima panggilan telefon memang terkesan. Saya dah dapat mengagak: berita kematian. Kemudian, timbullah tulisan-tulisan putih berlatar belakangkan skrin hitam pekat yang hanya ada tulisan-tulisan. Memang naik bulu roma membaca dengan iringan muzik yang sebegitu.

Tetapi, saya mula naik bosan dan naik radang bila menonton ulang tayang adegan yang sama dari awal cerita hingga akhir! Adegan Amy menari dalam kelab; Amy dan teman lelakinya (ala-ala jambu aje) yang bercengkerama dalam kereta di tepi tasik; adegan atas katil yang tak panas mana pun; adegan perkahwinan ala Mat Salleh dengan nota “LONDON 2003” dan adegan menari dalam kelab asyik diulang, diulang dan diulang dengan iringan lagu SALAM TERAKHIR nyanyian AMY SEARCH dan lagu ANDAIKU TAHU nyanyian RAMLI SARIP. Seperti yang saya tulis di status Facebook: “… hanya lagu dendangan Amy Search dan Ramli Sarip yang menyelamatkan filem 2 Alam!.”

Kalau saya hitung-hitung dan tolak, filem 2 Alam ini cuma 20-30 minit sahaja tayangannya, bukan 82 minit seperti yang dikhabarkan dalam laman web pawagam. Mana taknya, ulang tayang menerusi imbas kembali (flashback) dah makan banyak masa! Watak utama Amy atau Adam tak berkembang. Budak perempuan di sebelah saya yang saya amat YAKIN tidak membaca sinopsis berkata: “Oh, Amy tu Adam ke…” Apa yang 2 ALAMnya???? Bentak saya dalam hati! Sinopsis filem ni bukan main hebat lagi, seperti di bawah (http://drmovie.herbaprima.com.my/2alam/latar-belakang/sinopsis/):

Adam adalah anak kepada seorang  bekas pelakon bangsawan bernama Zainal. Dia bersahabat baik dengan dua orang temannya iaitu Ishak dan Hassan. Sewaktu kecil Adam adalah seorang kanak-kanak yang sangat petah dan pandai mengaji Al-Quran berbanding dua temannya.

Keranan kecemerlangannya  di dalam pelajaran dia akhirnya dihantar untuk meneruskan pengajiannya di London. Manakala teman baiknya Ishak dihantar oleh bapanya di Al-Azhar, Mesir. Hassan di hantar oleh bapanya ke Amerika meneruskan pengajian dalam bidang perundangan. Sewaktu di London, Adam telah melakukan pembedahan menukar jantina selepas terpengaruh dengan budaya songsang barat. Dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan seorang jejaka Inggeris dan meneruskan kehidupan di London sebagai pelakon pentas bagi meneruskan legasi bapanya.

Apabila dia ditinggalkan oleh lelaki Inggeris tersebut Adam telah menukar namanya kepada Amy itu pun kembali ke tanahair untuk memulakan sebuah kehidupan baru. Sekelip mata sahaja Amy menjadi popular kerana Aura dari London yang dibawa bersamanya itu menjadi.

Dia terbabit  lagi dengan cinta seorang lelaki bernama Juan Agustin seorang bintang Pop Malaysia yang sangat popular di Taiwan. Saban hari kehidupannya semakin jauh dari Tuhannya sehingga pada suatu hari segala tembelangnya pecah kerana dia dirogol bergilir-gilir oleh 3 lelaki di dalam sebuah ladang getah.

Kini 7 dosa besar yang dilakukannya mula mengejarnya satu persatu akhirnya dia nekad dan menggantungkan diri. Perjalanan jenazah Adam ke kubur adalah satu kembara terakhir seorang manusia yang melakukan 7 dosa besar. Apakah perjalanannya ini hanya seperti membawa seorang bangkai untuk di timbuskan ke dalam perut bumi? Apakah kesukaran yang bakal diterima oleh jenazah yang cukup popular ini?

Bagaimanakan Hj Ishak seorang sahabat baik kepadanya menerima dan menguruskan sahabat  baiknya itu pada hari-hari terakhir jasad itu di atas muka bumi? Dimanakah sebenarnya tempat untuk manusia  yang tidak tahu membezakan antara sesuatu kekal dan batil akan ditempatkan pada simpanannya sebelum dibangkitkan semula?

Erm, tak adapun sedikit cerita Adam tukar jantina. Atau kenapa tiba-tiba Adam tukar jantina. Watak Amy tak hidup. Watak teman lelaki yang asyik tayang body dan bertatu di lengan sedikit memualkan, kayu! Kisah selepas Amy/Adam mati yang diselang selikan dengan imbas kembali kehidupannya memang tidak menarik dan mengusutkan keseluruhan jalan cerita. Pada saya, drama slot Cerekarama TV3 arahan Muhammad Murali Abdullah tentang jenazah yang derhaka pada ibu lebih terkesan, menginsafkan dan plot cerita yang lancar. Kesan khas seperti berulat pun lebih hebat. Lepas tu, muncul pula drama “Aku Ingin ke Syurga” lakonan Zamarul Hisham dalam kepala saya. Drama ini ditayangkan untuk slot yang sama baru-baru ini. Penonton dapat merasakan betapa jahatnya watak Hanafi, betapa geli dan busuknya kudis-kudis di badan Hanafi dan betapa insafnya apabila jenazah dimandikan, semua kecacatannya hilang dengan kuasa Allah.

Tetapi, apabila menonton 2 Alam, banyak yang saya pertikaikan. Antaranya: tayar van jenazah meletup kerana jenazah terlalu berat. Ustaz lakonan Aaron Aziz bersusah payah mengusung jenazah dari cuaca cerah hingga malam tanpa menunggu tayar van diperbaiki. Kononnya tiada lagi van di kampung tersebut. Saya pun pelik, bukankah di kampung tanah perkuburan terletak tidak jauh dari masjid? Selepas dirogol dan diliwat, media membuat liputan meluas tentang Amy sehingga Amy membunuh diri. Orang-orang kampung duduk di kedai kopi dan bercerita tentang Amy. Saya sebagai penonton tak dapat merasakan tekanan Amy. Sebabnya: faktor ulang adegan sama yang saya katakan tadi. Kenapa tak ditunjukkan Adam sebelum tukar jantina?

Nampaknya, saya sekali lagi telah TERTIPU dengan tajuk filem yang bombastik tetapi AMAT MENGECEWAKAN seperti mana saya menonton filem JALANG dan MAUT suatu ketika dulu. Sasaran kutipan RM 12 JUTA Dr Rozmey mungkin hanya angan-angan di siang hari. Mana resepi hebat seperti yang Dr Rozmey war-warkan? Apa yang 2 Alam pun masih tak dapat dirungkai dengan berkesan dan terkesan! Apakah benar kutipan hari pertama mencecah RM 2 juta seperti dilaporkan??? Sekiranya benar, maka saya telah menyumbang 0.00045% dari jumlah kutipan keseluruhan dan menyokong industri FILEM TEMPATAN yang membosankan!

P/S: Terlihat trailer filem NGANGKUNG. Satu lagi filem hantu/seram BODOH yang takkan saya tengok. Apa dah jadi dengan filem MALAYSIA ni???????

2 Komen

Filed under Isu

Maksud “Pacal yang Hina”

Saat ini betapa saya rasakan alangkah ceteknya ilmu yang saya ada kerana terus terangnya, sepanjang 24 tahun 1 bulan 30 hari hidup saya, baru hari ini saya mengerti maksud “Pacal yang Hina”. Artikel yang saya perolehi di bawah ini bisa menjelaskan segala. Selamat membaca kepada mereka yang mencintai ilmu!

Projek pembodohan orang Melayu (Hishamuddin Rais, 4 Disember 2009, MalaysiaKini.)

 Rujukan: http://www.malaysiakini.com/columns/119183

United Malays National Organisation berkhayal bahawa gerombolan mereka sahaja yang mewakili orang Melayu. Dakwaan ini sebenarnya satu dongeng yang sengaja disebarkan untuk membodohkan fikrah orang Melayu.

Projek pembodohan Melayu ini sebahagian daripada strategi politik United Malays National Organisation. Selama lebih 50 tahun, proses pembodohan ini telah dilakukan. United Malays National Organisation amat amat sedar tanpa projek pembodohan ini, mereka akan hilang kuasa untuk memerintah.

Pada zaman feudal dahulu, orang-orang Melayu dibodohkan dengan pelbagai dongeng tentang daulat raja, tentang hikmat raja, tentang kehebatan raja, tentang ilmu raja atau tentang raja yang mewakili tuhan di bumi ini.

Dakwaan ini semuanya dongeng. Semua ini sebahagian daripada projek membodohkan Melayu.

United Malays National Organisation tidak mahu orang Melayu memiliki fikrah dan berkeupayaan untuk berfikir secara bebas. Susuk yang memiliki fikrah dan berkeupayaan berfikir secara bebas pasti akan menjauhkan diri daripada gerombolan ini.

Manusia yang berfikir akan berupaya untuk melihat tipu belit yang sedang dijalankan oleh gerombolan ini.

Projek pembodohan ini ada yang dijalankan dengan licik sehingga tidak dapat dilihat; ada pula yang amat jelas dan dapat dilihat dengan mudah. Projek pembodohan yang licik dan yang terang berjalan serentak untuk membonsaikan akal fikrah manusia Melayu.

Cara pertama:

Menakut-nakutkan Melayu tentang bahaya orang asing. Orang asing yang dimaksudkan oleh gerombolan ini tidak lain dan tidak bukan – orang Cina. Kaum ini dijadikan “momok” untuk terus menakut-nakutkan orang Melayu.

Akan ditimbulkan pelbagai cerita untuk membuktikan bahawa ekonomi negara ini dimiliki oleh orang Cina. Racun membenci Cina telah memandulkan fikrah Melayu untuk melihat dengan jelas bahawa wujud persekongkolan intim antara kroni gerombolan United Malays National Organisation dengan para cukong Cina.

Para cukong yang mengaut harta kekayaan sebenarnya bekerjasama dengan gerombolan United Malays National Organisation – kerjasama mereka ini seperti hubungan abang dengan adik.

Cuba kita kembali kepada kes bank Bumiputera Malaysia Finance (BMF) yang lingkup pada tahun 1980-an dahulu. Nama seperti Hashim Shamsuddin dan Lorraine Osman akan muncul; kemudian diikuti nama George Tan. Siapakah Lorraine Osman? Dia ini tidak lain dan tidak bukan bendahari gerombolan sendiri!

Skandal bilion ringgit ini hanyalah satu contoh daripada berjuta-juta contoh lain – belum lagi diambil kira kes PKFZ, Bakun, Perwaja, Formula 1, Piala Monsoon, KLCC – wujud kerjasama antara gerombolan dengan “orang asing” ini untuk menjarah hasil negara.

Cara kedua:

Menyebar berita dongeng bahawa sesiapa yang menentang United Malays National Organisation bererti menentang raja dan monarki. Dakwaan ini bukan sahaja dongeng tetapi cerita lawak.

Orang Melayu sengaja dibodohkan dan tidak diarifkan untuk memahami bahawa melawan, menentang atau mengkrtitik sistem monarki ini bukan sesuatu yang pelik atau menghairankan.

Dalam sejarah negara Arab, banyak raja telah dicampakkan dalam tong sampah sejarah. Raja Feisal dari Iraq, Raja Farouk (Mesir), Raja Idris (Libya), Raja Bagi Segala Raja Ahmad Reza Pahlevi (Iran) – semuanya dihumbankan.

Justeru, menentang monarki bukan sesuatu yang asing dalam sejarah tamadun manusia. Malah menentang monarki adalah tindakan progresif dan maju.

Tetapi orang Melayu sengaja dibodohkan agar terus terperangkap untuk tunduk melutut tanpa berfikir. Orang Melayu tidak diberi kefahaman yang jelas bahawa “menjunjung ke bawah duli” itu ertinya “menjunjung tapak kaki”. Orang Melayu tidak diberitahu bahawa “pacal” itu ertinya “anak anjing”.

“Patik pacal yang hina menyembah duli tuanku” bermakna “saya ini anak anjing yang hina menjunjung tapak kaki kamu”. Bukankah kenyataan ini kerja bodoh dan memperbodohkan diri sendiri?

Kenapa orang Melayu boleh dibodohkan sebegini? Kenapa orang Mealyu mahu menjadi bodoh dan terus dibodohkan?

Cara ketiga:

Sesiapa yang menentang United Malays National Organistion dikatakan menentang Islam. Dakwaan ini juga projek membodohkan orang Melayu. Bagaimana menentang gerombolan ini disangkutpautkan dengan agama tidak pula dilakar dengan jelas.

Islam ialah agama kepercayaan. Manakala United Malays National Organistion adalah satu gerombolan politik. Islam wujud 1,500 tahun dahulu. Gerombolan yang beroperasi hari ini hanya wujud semenjak tahun 1988. Manusia Melayu menganut Islam 500 tahun dahulu dan tidak ada sangkut paut dengan United Malays National Organisation.

Manusia Melayu menganut Islam bukan kerana United Malays National Organisation. Mereka menganut Islam kerana satu kepercayaan agama.

Tetapi orang Melayu di Malaysia ini terus ditakut-takutkan seolah-olah gerombolan ini wakil tuhan di atas bumi ini. Dakwaan ini karut. Tidak ada sesiapa yang mewakili tuhan di atas bumi ini. Menentang United Malays National Organisation bukan menentang agama, bukan menentang Islam dan bukan menentang tuhan.

Yang Maha Esa tidak pernah melantik United Malays National Organisation untuk menjadi wakilnya. Malah Yang Maha Esa tidak juga melantik pope, sami, dalai, ayatollah, paderi, rabbai untuk menjadi wakilnya.

Apa yang terjadi, para agamawan ini orang-orang yang beramal dan beribadat. Mereka mengikut selurus dan setepat mungkin ajaran-ajaran daripada kitab-kitab suci. Semua mereka hanyalah manusia yang sama seperti makcik dan pakcik di Felda Sungai Rokan – bezanya mereka boleh berfikir dan berilmu.

Ahkirnya:

Projek pembodohan Melayu ini telah dibudayakan. Ertinya, ia menjadi sebahagian daripada proses pembudayaan fikiran Melayu. Lembaga-lembaga daulah yang wujud diarahkan untuk terus menjalankan projek pembodohan ini.

Kaedah pembelajaran dan media menjadi dua lembaga yang digunakan untuk projek membodohkan Melayu. Media Melayu – jika dibandingkan dengan media yang bukan Melayu – amat ketara perbezaan kandungannya.

Tahap laporan berita, tahap tulisan rencana, tahap soal jawab agama dalam media Melayu – semuanya memiliki nilai bodoh yang amat tinggi.

Begitu juga kaedah pembelajaran dan keilmuan. Anak-anak muda Melayu terus diperbodohkan dalam sistem pembelajaran yang sedia wujud. Justeru, ibu bapa dalam masyarakat Cina tidak mahu anak anak mereka masuk ke sekolah aliran Melayu.

Mereka tidak mahu anak-anak mereka jadi bodoh. Dalam masa yang sama, makin ramai ibu bapa Melayu telah mula menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran Cina.

Di sekolah aliran bukan Melayu, masih ada peluang untuk anak-anak sekolah ini diajar berfikir, bukan diajar untuk menjadi bodoh.

Kemelut politik hari ini adalah hasil daripada projek pembodohan orang Melayu. Masih ramai lagi orang Melayu yang bodoh sehingga mereka gagal untuk membezakan apa yang betul dan apa yang salah; apa yang hak dan apa yang batil.

Projek bodoh ini telah juga memesongkan nilai budaya orang Melayu. Orang Melayu yang telah dibodohkan gagal melihat bahaya rasuah, malah mereka dengan bangga akan mengangkat pemimpin pengamal rasuah.

Orang Melayu yang telah berjaya dibodohkan gagal melihat bagaimana sistem kehakiman dan keadilan dalam negara ini boleh dijual beli. Mereka ini terus ingin menjadi bodoh.

Orang Melayu yang ingin terus menjadi bodoh gagal melihat pembunuh, penculik, pengambil rasuah – ini semua bukan pekerjaan salah.

Budaya songsang lagi bodoh ini melihat kejahatan itu sebagai baik dan suci kerana ia dilakukan oleh manusia Melayu beragama Islam yang memiliki kad gerombolan United Malays National Organisation.

 

6 Komen

Filed under Isu

Pakcik Tanpa Nama

PAKCIK TANPA NAMA duduk di tangga Sogo dengan beralaskan kotak dan berbumbungkan langit malam Hari Raya Aidiladha yang tiada bintang. Titik-titik hujan jatuh menimpa Pakcik Tanpa Nama. Kudekati Pakcik Tanpa Nama, kukata: “Hujan ni pakcik, duduklah dalam sana”. “Takpe nak, sikit aje. Biarlah…” Pakcik Tanpa Nama terus …menulis perkataan yang dapat kuagak dengan pasti – Bismillah. Kutanya lagi. Lalu Pakcik Tanpa Nama mula mendendangkan ceritanya. Cerita yang membuatkan aku terpana. Paling meruntun hatiku adalah cerita Pakcik Tanpa Nama menoreh tapak tangannya kerana sakit yang tidak diketahui. Cerita yang dimulakan sebegini: “Minta maaf ye nak kalau pakcik tunjukkan tangan pakcik ni.” Ah, kedua-dua telapak tangannya nampak isi berwarna merah! Pakcik Tanpa Nama berasal dari Melaka. Itu yang aku tanya. Tetapi entah kenapa aku tidak tertanya apa nama Pakcik Tanpa Nama kerana Pakcik Tanpa Nama adalah Pakcik Tanpa Nama.

(Facebook)

30 Komen

Filed under Isu

Crayon: Ramuan yang Tidak Mengecewakan

CRAYON. Ramuan kasih-sayang yang mampu membuatkan air mata jatuh berderai. Saya amat berpuas hati dengan hasil karya Dean A. Burhanuddin ini. Siapa Dean A. Burhanuddin? Kalau tidak kerana Crayon, saya sama sekali tidak mengenali Pengarah dan Penulis Skrip ini.

“Crayon” Dibuat Bukan Untuk Jadi Jutawan (mStar Online: Sabtu, 18 September 2010) sememangnya benar. Filem drama ini pada saya cukup sarat dengan mesej yang perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa dan agama. Cerita dalam Crayon menyebabkan saya teringat kehidupan di kampus dengan segala macam aktiviti kesukarelaan dan persatuan. Crayon menyingkap kisah dua sahabat dari Malaysia dan Singapura  yang terlibat sebagai sukarelawan di RumahKu (rumah anak yatim). Mereka cuba menggembirakan kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan juga Mak Engku dengan membantu mencari dana untuk membayar hutang kepada GRDY Bank (kedengaran seperti Greedy). Tetapi malangnya, satu tragedi yang menyebabkan kematian berlaku dan menyebabkan watak utama menderita. 

Hon Kahoe yang memegang watak utama sebagai Adam atau Abang One adalah bintang yang pasti menyinar jika digilap lagi. Faisal Abdullah atau Raf (Rafaat) cukup menghiburkan dan berjaya menghidupkan Crayon dengan sikap kiasu dan skeptikalnya. Watak cilik Afiq yang digalas oleh Joshry Adamme tidak mengecewakan. Mak Engku yang dibawa oleh Adibah Noor sememangnya cocok.

Saya tidak pasti bagaimana sambutan orang Malaysia terhadap karya ini, tetapi saya menyukai ramuan Dean A. Burhanuddin yang mempunyai pelbagai rasa, bahasa (Inggeris, Melayu, Mandarin, Hokkien) dan bangsa. Ketika saya menonton Crayon di TGV KLCC pada hari Jumaat lalu, cuma 8 orang termasuk saya di dalam panggung. Peduli dengan khalayak yang kurang ramai, Crayon yang sarat dengan realiti dan mengangkat kisah pinggiran dalam masyarakat telah mengubat TRAUMA saya selepas menonton sebuah dongeng – Estet!

Tinggalkan komen

Filed under Isu