Category Archives: Isu

Gurindam Seloka Moden: Masuk Berlumba

Pendita Za'aba (Sumber foto: sejarahmalaysia.pnm.my)

Pendita Za’aba (Sumber foto: sejarahmalaysia.pnm.my)

I
Lihat di sana itu!
Orang berbagai rupa dan bangsa
Berlumba-lumba sepanjang waktu,
Berusaha memperdapat syarat hidup di dunia,
Dengan sabar, tekun, tabah, yakin, percaya.

Berkedai, berniaga, bertukang, berjaja,
Berjual rokok, berjual air batu,
Ini, itu – tak satu-satu:
Tidak merasa hina, tak merasa malu,
Membuat kerja kecil-kecil begitu.

Tukang kasut, tukang jahit, tukang dobi,
Tukang pakaian, potong-memotong, cuci-mencuci,
Tukang kayu, tukang batu, tukang besi,
Tukang emas, tukang jam, tukang arloji –
Segala kerja bermacam-macam lagi
Mereka kerjakan untuk mendapat rezeki.

Mengapa orang kita kurang sekali di situ?
Dalam seratus tak nampak satu!
Mengapa suka melatu, menjadi kutu?
Mengapa tak masuk berlumba dengan mereka itu
Untuk membaiki nasib, meningkatkan mutu?

II
Ah, malang anak-anak kaum bangsaku!
Tak tahu berniaga – tak mahu pun juga!
Di medan perniagaan sentiasa kekalahan, ketinggalan,
Sentiasa tak maju, tak jalan!
Sentiasa tak untung – termakan ke pangkal, termengkelan!

Di mana maruah kelaki-lakiannya?
Di mana kebanggaan bangsanya?
Di gaya yang segak, di poket melayang!
Di pangkat makan gaji, di kedai hutang!
Di perangai boros, tak tahu menyimpan! – menyimpang!
Di sanalah nama Melayu tersadai, tergadai!

III
Mereka yang berlumba itu
Bukan semuanya berjaya nombor satu;
Tetapi mereka berusahaaa mencuba,
Tidak hanya memandang dengan iri hiba,
Tidak dengaan putus asas, putih mata!

Banyak mereka itu yang sudah sampai,
Banyak yang sudah mencapai
Kemewahan hidup di mayapada,
Sebab banyak yang masuk mencuba,
Yang lain-lain walau tak menang
Terus juga mencuba dengan tenang!

Tetapi kita? …
Tetap tinggal di belakang, sekadar memandang!
Jauh lagi dari mencapai – bahkan dari mencuba
Kalau mencuba pun jarang-jarang pernah tiba!
Bagaimanakah kita mengaku lebih atau sama?

IV
Pesan Betara Guru:
Kalau hendak mendapat,
Jangan takut bersusah payah, lelah penat,
Jangan hanya hendak selalu senang:
Kerja, kerja! Hemat, ingat, jimat, cermat –
Brersedia payung sebelum hujan,
Di situlah sahaja jalan selamat!

Jangan mudah tawar hati,
Jangan mengenal jemu bosan,
Menghadapi segala halangan kepayahan
Dalam sebarang percubaan.
Cuba laagi, cuba lagi …
Jangan lemah semangat, hilang hangat:
Lambat bangat beroleh nikmat.

(Z. 25 Oktober 1960)
Dipetik daripada Kalung Bunga Za’aba.

Posted from WordPress for BlackBerry.

Advertisements

Tinggalkan komen

Filed under Isu

Puak Kanan yang Kurang Isi?

Kurang isi (Gambar dari http://www.shaqura.com)

Seharusnya hari Sabtu ini dihabiskan dengan berlibur atau santai. Namun, tinggal di kota yang dibelenggu dek bermacam-macam isu terkini dari hak asasi kepada politik murahan kepada kapal selam kepada skandal seks bersiri; maka saya merajinkan diri menggali laman-laman sawang.

Setelah terbaca tweet saudara Najwan, saya senyum sendiri. Sokong dan tak sokong tapi lebih kepada menyokong. Beliau memperkatakan tentang orang-orang yang menyokong monarki tapi tidak membaca sejarah. Betul, tak dapat dipertikai lagi. Sepanjang percampuran, penglibatan dan pemerhatian, saya dapati bahawa kelemahan utama puak kanan adalah “mengia” tapi kurang membaca. Perhatikan dan baca komen-komen pemimpin puak kanan, kadang-kadang orang tidak cukup umur pun menggeleng kepala. “Kepala bapak kau” misalnya, adalah contoh ideal yang memanaskan media sosial tempoh hari.

Faktor kurang isi dalam perdebatan ini saya fikir disebabkan oleh berada di ruang lingkungan selesa. Isu yang kerap diputar adalah pembangunan, pembangunan dan pembangunan. Apakah dengan memberi pembangunan, maka rakyat harus menutup mata terhadap kemungkaran yang berlaku? (Saya masih rasional dan cuba mengelakkan perkataan ‘kezaliman’.) Pejuang siber yang pro-puak kanan pula saya lihat banyak yang ‘copy paste’. Ada juga yang menulis idea dan pemerhatian sendiri; tapi kemudian kedua-dua golongan ini gagal untuk membalas hujah orang lain dengan cara yang waras dan berhikmah.

Memang. Puak kiri juga saya lihat terlebih perasa dalam mengeluar kata-kata. Tapi, sebagai parti utama yang telah hidup selama 66 tahun (kita abaikan cerita ‘mati hidup semula’ lewat 1980-an), apakah kekasaran dibalas kekasaran? Kurang ajar dibalas kurang ajar? Kebiadapan dibalas kebiadapan? Pernah saya membela Ambiga yang menjadi musuh ketat sebilangan orang di laman sosial lalu dengan tak semena-mena, datang seorang lelaki dan berkata “dia mesti lesbian” (kerana Ambiga dilabel penyokong LGBT, maka saya kena tempiasnya). Dangkal. Cukup dangkal!

Kemudian, saya lihat juga, kebanyakan pemimpin puak kanan ini kurang membaca. Atau terhad pembacaannya. Atau memang malas untuk mencari fakta. Lalu, dek kerana kurangnya modal untuk berbicara, golongan ini main cakap saja, hentam keromo tanpa ada isinya. Mungkin bangga kerana mampu ‘menggoreng’.  Mereka tak sedar barangkali; orang yang mendengar cakap-cakap mereka sebenarnya memproses setiap patah kata lalu menterjemahkan maksudnya. Maksud itu kemudian kosong dan rapuh.

Kurang isi oleh puak kanan ini begitu ketara dengan penganjuran acara mereka. Saya mengerti dan menghormati hak mereka menunjuk taat setia, namun persoalan besar yang bermain di benak saya adalah APAKAH MEREKA TIDAK TAHU AKAN SEJARAH ATAU SEMEMANGNYA BUAT-BUAT LUPA? Bila cakap lebih dan terbuka, tak semena-mena dipanggil penderhaka. Lalu saya memilih untuk berkata dengan penuh bahasa.

Hari ini, saya mengharapkan perubahan oleh puak kanan untuk lebih kritikal dan bukan emosi. Biar ada barisan kanan yang benar-benar sedar akan ‘game changer’ yang dipukul canang Sang Ketua, lalu kembali memberi isi kepada perjuangan. Bukan hanya omongan menanahkan telinga. Baca, kaji dan bercakap secara waras dan diterima akal! Ah, ini zaman Google, zaman buat ucapan sendiri. Tak perlu ucapan berapi, tapi bukan datang dari hati sendiri! Ingat, rakyat adalah juri yang menghakimi.

Saya tinggalkan ini hari ini:

He didn’t say that.  He was reading what was given to him in a speech.  ~Richard Darman, director of the Office of Management and Budget, explaining why President Bush wasn’t following up on his campaign pledge that there would be no loss of wetlands.

Tinggalkan komen

Filed under Isu

Sudut Pandang

Lama benar bergelandangan di jalan-jalan yang masih menjadi lubuk korban. Jari semakin kaku untuk menulis. Hari-hari pasca-Sejahtera yang saya lalui membawa saya kepada dimensi yang kadang-kadang saya sendiri tidak mengerti dan kadang-kadang tidak mahu peduli. Tetapi, mahu tidak mahu, saya harus lalui dengan berani!

Sudut Pandang (Gambar dari kekuatanraksasa.blogspot.com)

Mutakhir ini, ada yang bertanya apakah saya kecewa? Ada pula menuduh saya telah tergelincir dari landasan. Ada juga mempersoal kesetiaan saya pada Sang Saka Bangsa. Semuanya gara-gara sudut pandang saya yang sudah dianggap tidak sehaluan dengan mereka!

Selama hampir 26 tahun diberikan nyawa, saya sentiasa berpegang pada kesederhanaan. Siapa tidak mahu menang? Siapa pula mahu kalah? Tetapi, soal kalah dan menang pada saya adalah nombor dua. Nombor satu: bagaimana cara saya berjuang atau berperang. Akibat kesederhanaan dan diplomasi, maka saya lebih banyak melihat dan mendengar dari berbicara. Atau menjeruk rasa. Ini bukan soal perasaan putus cinta, ini perasaan pada bangsa dan negara.

Sering saya persoal kini, kenapa majoriti bangsa saya tidak mahu melihat sudut pandang yang berbeza? Gemar menghukum daripada melihat akar masalah. Cenderung menyokong pasukan masing-masing lalu bertegang urat menegak benang yang basah. Kawan-kawan, sesungguhnya, melihat dari sudut pandang yang berbeza adalah lebih sengsara daripada melihat dari satu sudut pandang sahaja. Biarpun sengsara, saya pilih sudut pandang berbeza dan membuang ego dan ideologi atau fahaman kerana saya mencari kebenaran, bukan bersenang-lenang disogok penipuan. Benar, kita selama ini hidup dalam negara yang aman damai. Kerana keamanan itu, kita telah dilingkari dengan rasa selesa. Malas untuk berfikir. Tak perlu bersuara. Semuanya kita serahkan pada sang penguasa. Lalu, kita sendiri tidak sedar bila tanah berekar tinggal sekangkang kera! Yang mahu bangkit dan tersedar, dituduh “pengkhianat bangsa”.

Kata-kata ini saya serikan dengan petikan kata-kata Pendita Za’aba dalam bukunya “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri”:

… Umpamanya dalam medan politik orang bersalah-salahan faham: ada orang fahaman ‘Conservative’ (cara lama, tak suka perubahan) ada orang berfaham ‘Liberal’ (luas dan lapang), dan ada pula sosialis; ada orang berfaham ‘Demokrat’, ada berfaham ‘Republikan’; ada orang berfaham seperti “UMNO” dan ada orang seperti “PAS” dan lain-lain lagi. Tetapi tidaklah tiap-tiap kepala berfahaman lain, dan bukan semua orang boleh jadi “kepala” dan “ikutan” yang membawa fahaman sendiri. Yang kebanyakannya ialah jadi pengikut juga, iaitu menyokong fahaman yang ia bersetuju (bukan bertaklid buta). Maka kepala-kepala itu berselisih hanya pada fahaman dan jalan; tetapi asas dan tujuannya satu juga iaitu hendak mendapat kebajikan bagi rakyat dan negara dengan menjadikan negeri dan pemerintahan itu sebagai alatnya. Maka hanya jika tiada dipakai asas itu atau jika diterbalikkan dia — umpamanya rakyat dijadikan alat bagi memperoleh kebajikan negara dan pemerintahan; maka baharulah terbit faham yang salah dan sesat dan merbahaya seperti fahaman komunis atau lain-lain sebagainya.

 Tulisan saya ini adalah untuk mengajak orang-orang yang berbeza sudut pandang dengan saya untuk melihat pada sudut pandang yang berbeza. Kalau dulu selalu baca Harakah dan Suara Keadilan, buka-bukalah Berita Harian dan Utusan. Kalau selalu baca The Star, jenguk-jenguklah MalaysiaKini. Kalau biasa mengopi di Starbucks atau Coffee Bean, turun-turunlah ke Rengit Kopitiam atau OldTown White Coffee. Apa ada pada ketaksuban? Apa ada pada keganasan dan sengketa? Malaysia hari ini adalah sangat kompleks. Bergantung kepada kalian untuk melihat dari sudut pandang yang mana.

(Nota Kaki: Sepandai-pandai tumpat melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah jua. Kecewanya saya melihat kekejaman video amatur di YouTube pada tanggal 28 April masih belum terubat. Carilah dotdotdot: The Truth kalau anda ingin merasa apa yang saya rasa.)

Tinggalkan komen

Filed under Isu

Sikap dan Kemiskinan Melayu pada 1840-an (Milenia Muslim Mei 2010)

(Sedang mencari-cari bahan untuk penulisan, lalu terjumpa naskhah lama majalah Milenia Muslim Mei 2010. Suka untuk saya berkongsi artikel ini dengan sahabat-sahabat di luar sana. Kredit kepada Milenia Muslim!)

“Jika orang Melayu mahu menjadi bangsa yang besar, orang Melayu mesti mempelajari dan memelihara secermatnya bahasa Melayu, di samping menerima serta menambah pengetahuan baharu.”

Kata-kata Munshi Abdullah bin Abdul Kadir ini dipetik dari bukunya yang bertajuk Kisah Pelayaran Abdullah yang mendedahkan kemiskinan orang Melayu. Ketika itu ramai yang marah kerana kelancangan Abdullah. Watak seperti Munshi Abdullah sering kali tidak popular, menjadi tohmahan dan dilupai oleh sejarah.

Catatan sejarah menunjukkan bahawa sejak kurun ke-18 orang Melayu sudah mula dikritik oleh bangsanya sendiri. Abdullah bin Abdul Kadir atau Abdullah Munsyi (1796-1854) adalah di antara pengkritik awal masyarakat Melayu. Bukunya Hikayat Abdullah (1840-an) mengandungi pandangan beliau mengenai beberapa adat, kepercayaan, budaya kerja dan pemikiran masyarakat Melayu yang difikirkannya kolot sebagai penyebab kepada kemunduran bangsa Melayu.

Munshi Abdullah dalam buku-buku Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah turut membuat kritikan yang pedas terhadap orang Melayu pada penghujung abad ke-19. Beliau menegur kelemahan orang Melayu, sikap malas mereka, kurangnya ilmu pengetahuan di kalangan mereka, cara hidup mereka, sehinggalah episod perpecahan di kalangan mereka.

Abdullah tidak sahaja mengkritik tetapi memberikan cadangan bagaimana kehidupan orang Melayu dapat diperbaiki. Munsyi Abdullah memberikan pandangan bagaimana mahu mengeluarkan orang Melayu daripada kelemahan mereka. Abdullah turun ke lapangan, belayar ke negeri-negeri Melayu, melawan ombak, mengharungi ancaman lanun dan perang saudara bagi mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku dalam masyarakat Melayu ketika itu. Kisah Pelayaran Abdullah bukan sekadar catatan perjalanan tetapi juga dimuatkan keinsafan dan nasihat tentang nasib orang Melayu. Abdullah menjadi pengkritik bangsa yang berterus-terang dan konstruktif. Malangnya hari ini ada di kalangan orang Melayu sendiri, mereka yang duduk dalam keselesaan dan kemewahan, yang tidak pernah merasa kesusahan dan penderitaan rakyat, mahu menjadi juara bagi pihak rakyat.

Nota Kaki: Cerita Munsyi Abdullah secara tidak langsung mengukuhkan kepercayaan kepada pekerjaan akar umbi yang saya sedang lakukan hari ini.

10 Komen

Filed under Isu

Saya Melayu Johor, Saya UMNO, Saya OK

"Kepada Allah Berserah"

4.49 pagi, tanggal 22 April 2011. Mata telah segar bugar dan degil untuk tidur. Bila membuka Facebook dan Googling ala kadar saja, perasaan terbuku hanya Tuhan saja yang tahu… Kenapa UMNO saja yang dipersalah? Dicaci dan dimaki? Dihentam tanpa belas? Di sini, anak Melayu Johor mahu meluah gelodak rasa! 

Saya anak JATI JOHOR. Bukan bersifat kenegerian, tetapi pada saya, inilah tunjang yang mengukuhkan jati diri. Kebanggaan pada bangsa tidak membuatkan saya buta dan tuli, tetapi sebaliknya meraikan kepelbagaian bangsa atau negeri yang lain. Campaklah saya di mana-mana, saya akan menyukai dan bergelumang dengan tradisi dan cara setempat.. tetapi dengan label JOHOR! Sajak MELAYU JOHOR, karya Usman Awang ini telah terpahat dalam jiwa juang:

MELAYU JOHOR
 
Melayu Johor
telah terlalu banyak kita kehilangan
sawah ladang bertukar tangan
pekan dan bandar kita menumpang
Teluk Belanga entah ke mana
yang tinggal hanyalah pakaian
sedarah sedaging hampir hilang
yang ada hanyalah setulang
Selat Tebrau kian sempit
hati rindu jauh tergamit.
 
Di Johor,
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar itu Melayu
Minangkabau memang Melayu
Aceh dan Siak adalah Melayu
Jakun dan Sakai lebih Melayu
Arab dan Turki pekat Melayu
Mamak dan Malbari jadi Melayu
malah Muallaf bertakrif Melayu.
 
Melayu itu maknanya bijaksana
“jika menipu pun bersopan”
kurang ajarnya tetap bersantun
dajalnya cukup selamba
budi bahasa jangan dikira
beraninya cukup benar
tunduk bila bersalah
“lembutnya cukup jantan”
setia sampai ke kubur
biar mati adat jangan mati sahabat.
 
Anak Johor,
luka di Tanjung Putri
parutnya di Parit Raja
muka biar berseri
mulut biar berbahasa.
 
Berkelahilah cara Melayu
menikam dengan pantun
menyanggah dalam senyum
marahnya dalam tertawa
merendah bukan menyembah
meninggi bukan melonjak.
 
Watak Melayu menolak permusuhan
jiwa Melayu mengangkat persahabatan
kasih sayang kekeluargaan
ringan tulang saling bertolongan
jujur memaafkan, ikhlas memberikan.
 
Berdamailah cara Melayu
silaturahim yang murni
di mulut sama di hati
maaf senantiasa bersahut
tangan dihulur bersambut
luka pun tidak lagi berparut.
 
Melayu Johor saudaraku yang dikasihi,
dalam kekeruhan ini carilah perdamaian
sifat terpuji setiap insan.
 
Bermuafakat supaya berkat
bersaudara dunia akhirat
berikhtiar dengan tabah
kepada Allah berserah.
 
USMAN AWANG
1988
 
Pernah tumpah airmata sekalian Melayu Johor mendengar, membaca dan menghayati sajak ini. Benar, di Johor tempat lahir UMNO. Benar, di Johor kubu kuat UMNO. Inilah yang kami namakan kesetiaan. Mungkin orang luar mengatakan kami orang-orang Johor bodoh dan bebal kerana menyokong UMNO yang sudah tidak lagi relevan hari ini. Mungkin orang luar menganggap menyokong UMNO adalah tradisi kekampungan. Mungkin kata orang luar, UMNO itulah pembawa segala kemusnahan dan kedurjanaan di Tanah Melayu ini.
 
Pedulikan semua itu, kami Melayu Johor akan tetap mempertahankan UMNO dan Sang Saka Bangsa walau seteruk mana dicaci dan dimaki. Yang salah adalah TANGAN-TANGAN KOTOR YANG PERNAH MEMIMPIN ATAU MEMEGANG TAMPUK UMNO, bukan UMNO! Telinga saya sudah cukup bernanah dengan cacian dan makian UMNO tidak betul; UMNO salah; UMNO rasuah; UMNO makan duit; ala UMNO!; UMNO itu dan UMNO ini… Namakan saja pemimpin yang korup dan mencemar nama baik UMNO, noktah. Bukan main tarik tali lagi. Zaman ini, pemimpin korup tidak perlu dibela atau dijaga kerana penyokong UMNO cuma ada 2 pilihan: KELANGSUNGAN UMNO atau MEMPERTAHANKAN PEMIMPIN. Saya pilih KELANGSUNGAN UMNO!
 
Jika ditinjau sejarah, Johor telah lama membangun di bawah Zaman Pemodenan Sultan Sir Abu Bakar dan Sultan Sir Ibrahim. Pembangunan yang Johor kecapi bukan disebabkan batu api-batu api yang melompat parti demi memuaskan nafsu serakah menjadi Perdana Menteri. Pembangunan yang Johor kecapi adalah didokongi oleh sebuah parti yang dinamakan UMNO. Walaupun tersebut al-kisah propaganda dalam Malaysiakini tempoh hari yang mengaitkan Iskandar Malaysia dengan nasib kaum pribumi Seletar, saya tak peduli! Terima kasih Iskandar Malaysia yang menjadi satu-satunya legasi KORIDOR EKONOMI zaman Pak Lah yang masih gah untuk terus ‘berdiri’!
 
Pegangan saya (dan saya fikir kebanyakan anak Melayu Johor) mudah: UMNO adalah perjuangan; dan perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata. Sekiranya dalam kotak pemikiran orang Malaysia pembangunan dan kejayaan mampu diukur oleh pembinaan menara-menara dan sesuatu yang terzahir, nah, di Johor kami ada semua! Sekiranya pembolehubah yang diukur bagi menentukan pembangunan dan kejayaan dalam kotak pemikiran orang Malaysia adalah pembasmian kemiskinan, maka kami boleh berbangga mengatakan setiap ceruk kampung kami geledah, setiap ceruk desa kami redah demi memastikan tidak ada satupun rakyat Johor yang diabaikan dan ditinggalkan kerana MISKIN!
 
Saat entri ini ditulis, saya berada di negeri pembangkang. Bukan kerana kempen masuk kampung membawa kesedaran perjuangan kepada kaum-kaum ibu seperti yang dilakukan oleh Ibu Zain dan Tun Fatimah Hashim. Bukan juga kerana ada Pilihan Raya Kecil. Tetapi atas dasar kerja. Profesionalisme mengajar saya untuk tidak mempamer warna: BIRU atau HIJAU. Profesionalisme juga mengajar saya untuk MELIHAT, MENGANALISIS, BERFIKIR, MENULIS dan BUAT! Melalui profesionalisme ini, saya melihat sebuah realiti dari akar umbi: KEGAGALAN atau KEMISKINAN rakyat bukan disebabkan oleh parti, tetapi oleh pihak-pihak yang selayaknya dipanggil PECACAI!
 
Pernah saya duduk sambil minum kopi dengan Penghulu Negeri (di negeri ini ada 2 penghulu – penghulu negeri dan persekutuan). Penghulu ini mengakui, banyak program pembasmian kemiskinan dijalankan dan digerakkan oleh Kerajaan Pusat, tetapi banyak juga tersangkut. Kenapa? Sekiranya peruntukan yang disalur dari atas adalah sebanyak 10 ringgit, bila tiba ke akar umbi, hanya 3 ringgit yang dapat dimanfaatkan. Kenapa? Tersangkut oleh “TOL” di setiap peringkat. Saya Melayu Johor, Saya UMNO, Saya OK mendengar kata-kata Penghulu ini.
 
Jangan! Jangan tuduh melulu dan membabi buta bahawa duit tersangkut dek orang-orang UMNO, tetapi seperti saya nyatakan tadi – PECACAI. Pecacai ini banyak jenis, tetapi sudah tentu orang gomen. Pecacai ini mereka yang terdiri daripada oportunis atau manusia yang mengambil kesempatan di atas kesempitan orang lain. Pecacai ini orang gomen (kerajaan) tapi terdiri daripada mereka yang  bukan jiwanya jiwa juang UMNO, tetapi sebaliknya jiwa uang (wang)! Tapi, UMNO juga dipersalah. Tak pernah pula bila kemakmuran diperolehi, pujian diberi: “Terima kasih, UMNO.”
 
Saya Melayu Johor, menyeru Melayu-melayu di luar sana: Melayu Melaka, Melayu Pahang, Melayu Kedah, Melayu Kelantan, Melayu Perak dan semua Melayu di negeri-negeri Malaysia untuk TIDAK MENGHUKUM UMNO. Sekiranya yang salah adalah ahli politik UMNO – nyatakan secara terbuka dan tunjukkan cara bagaimana. Sekiranya yang betul adalah ahli politik UMNO – berikan sokongan dan tunjukkan cara mengekalkannya. Zaman ini zaman mengurus persepsi. Zaman ini zaman berfikir dan menganalisis. Zaman ini bukan lagi zaman mencaci. Zaman ini zaman berbeza ideologi tetapi boleh duduk minum kopi, berdiskusi! Nak kutuk, beri bukti. Itu yang dikatakan rakyat negara merdeka yang matang di kala usia kemerdekaan bakal mencecah 5 setengah dasawarsa.
 
Saya Melayu Johor yang berkelana di negeri pembangkang. Saya UMNO, saya OK!

6 Komen

Filed under Isu

Kenapa Saya Tak Ambil Pot Tentang Dotdotdot

"Ambil pot?"

"Ambil pot?"

 Pagi yang hening di Kota Tinggi telah dipecahkan dengan bunyi bising kenderaan yang lalu-lalang untuk ke pejabat dan sekolah. Saya masih di rumah, hari untuk pulang ke Kota Lumpur. Pagi yang tenang yang tercemar dengan sedikit gelora emosi di hati tatkala terpampang berita tentang Nurul Izzah Anwar mencabar Najib Razak untuk berdebat di Yahoo News yang muncul di tetingkap komputer riba saya. Anwar lagi??? Lagi???

Sudah sudahlah semua orang. Baik politikus, baik blogger, baik penulis, baik wartawan, baik orang biasa mahupun pengunjung tegar kedai-kedai kopi nun di desa: hentikanlah bercerita tentang Anwar, hentikanlah fitnah Anwar, hentikanlah takut kepada Anwar dan hentikanlah menjaga tepi kain Anwar. Anwar cuma seorang manusia tertewas yang enggan menerima hakikat ketewasan!

Ketika saya masih di bangku sekolah rendah, saya membaca dan mengikuti kisah, rintihan, ucapan dan perjuangan Anwar. Saya pernah mengibar panji Keadilan yang saya arak di sekitar Bandar Kota Tinggi konon sebagai menyokong reformasi sana sini. Reformasi yang memperlihatkan pelajar universiti menjadi kuli. Kerajaan dihentam dicaci. MELAYU – berpecah-pecah! ISLAM – tinggal nama…

Ah, tak cukup lagikah? Apa yang dinamakan Sodomy I.. kemudian Sodomy II? Tak cukup lagi dengan drama sembunyi meminta perlindungan dalam kedutaan asing? Atau kronologi mencaci dan memburukkan negara di pentas dunia? Hari ini… bagai suatu tradisi, semua orang bergebang tentang Video Seks pemimpin pembangkang ini. Saya tak kata salah, tapi saya meluat dan menyampah. Termasuklah kepada orang-orang bertiga yang menuduh… Peribadi orang yang menuduh pun 2 kali 5, 5 kali 2 dengan Anwar. Kenapa siapa harus kita sandarkan sekelumit kepercayaan???

Walaupun saya sedar, menyokong kebenaran adalah PERJUANGAN, tetapi dalam kes tuduh menuduh tentang dotdotdot ini, saya tak ambil pot. Kenapa harus saya (dan saudara-saudara) membaca kisah berjela dalam Utusan, Berita Harian, Harakah, Malaysian Insider, Malaysiakini ataupun Sinar Harian tentang dotdotdot sedangkan isu-isu ekonomi dan sosial di luar sana masih tergendala dan meruncing? Harga ayam sudah mencecah RM 8 sekilo. Minyak masak ada kekurangan. Harga barang-barang dapur mendadak naik. Kes sakit mental berleluasa. Masalah sumbang mahram terus bernanah. Kenapa perlu kita halakan tumpuan sebesar lampu limpah stadium kepada Anwar dan si penuduh?!

Saya tak ambil pot bukan kerana saya orang muda yang hanyut dengan dunia muda sendiri. Saya tak ambil pot kerana saya orang muda yang KECEWA dengan permainan politik orang-orang sebelum saya. Liwat (atau tuduhan liwat) sana… khalwat (atau tuduhan khalwat) sini… tak termasuk tulisan mengeji dan balasan mencaci.

Saya tak ambil pot kerana saya percaya, banyak masa, tenaga dan wang ringgit telah dihabiskan untuk kes-kes tuduh menuduh seperti ini dengan pembentukan suruhanjaya dan sebagainya.

Kepada penyokong-penyokong akar umbi UMNO yang tidak punya apa-apa kecuali KECINTAAN kepada perjuangan Saka Bangsa seperti saya: tak perlu lagi pembunuhan karektor untuk Anwar kerana juak-juak dan penyokongnya tetap akan berdiri teguh menyokong. Tak perlu lagi berdebat tentang Anwar kerana itu hanyalah cerminan yang saudara-saudara takut dan cuak akan Anwar. Tak perlu lagi kita bicarakan tentang video seks dan bertegang urat mempertahankan orang yang menuduh kerana akar umbi dan orang muda hari ini takkan memberi undi kepada suatu ketidakadilan yang mereka percayai.

Saya yakin dan percaya, politik itu bukanlah tertumpu kepada tikam-menikam, tuduh-menuduh, maki-memaki, caci-mencaci atau bunuh-membunuh/terbunuh, sebaliknya politik adalah SENI PENTADBIRAN dan PEMERINTAHAN. Sesuatu yang berseni tidak harus dipersundalkan dengan kekotoran-kekotoran yang bisa mengotorkan. Sesuatu yang berseni tidak harus dipersetankan dengan sesuatu yang memusnahkan. Saya tak ambil pot tentang dotdotdot… 

Tinggalkan komen

Filed under Isu

Hobi Mengumpul dan Menyimpan

Tahun 2011 telah menjengah. Apa ada pada 2011 kalau bukan hanya 1 nombor yang bertambah pada rumah ‘sa’. Tiada sambutan seperti biasa. Cuma sesi imbas kembali dan muhasabah diri.

Tahun berganti, tapi hobi saya yang tak ramai orang tahu tetap tak berubah. Mengumpul barang-barang dan menyimpan pelbagai macam benda. Bagi saya, tiket bas yang bernilai RM1 adalah cukup sentimental dan punya cerita sendiri. Apatah lagi SMS yang menyimpan kata-kata semangat khususnya dari Mak yang saya tidak padam-padam sejak tahun 2006! Tiket-tiket bas, boarding pass dan tiket-tiket wayang masih tersimpan elok dalam buku koleksi.

Setiap tiket punya cerita sendiri. Tiket bas ekspres bertarikh 6 Disember 2009 mengingatkan saya kepada sesi temuduga di Menara UEM untuk internship di Khazanah Nasional bersama Mas dan Pali. Tiket bertarikh 12/12/2009 dari Kluang ke JB adalah hari saya menghadiri ujian PTD di INTAN Kluang.

Kumpul tiket memang seronok. Simpan SMS pun menjadikan saya terus menerus ingat akan pesanan dari orang yang berada di keliling saya. Cuma, tahun ini mungkin saya perlu belajar bagaimana untuk MENYIMPAN WANG!!! 🙂

2 Komen

Filed under Isu