Monthly Archives: Disember 2012

Gurindam Seloka Moden: Masuk Berlumba

Pendita Za'aba (Sumber foto: sejarahmalaysia.pnm.my)

Pendita Za’aba (Sumber foto: sejarahmalaysia.pnm.my)

I
Lihat di sana itu!
Orang berbagai rupa dan bangsa
Berlumba-lumba sepanjang waktu,
Berusaha memperdapat syarat hidup di dunia,
Dengan sabar, tekun, tabah, yakin, percaya.

Berkedai, berniaga, bertukang, berjaja,
Berjual rokok, berjual air batu,
Ini, itu – tak satu-satu:
Tidak merasa hina, tak merasa malu,
Membuat kerja kecil-kecil begitu.

Tukang kasut, tukang jahit, tukang dobi,
Tukang pakaian, potong-memotong, cuci-mencuci,
Tukang kayu, tukang batu, tukang besi,
Tukang emas, tukang jam, tukang arloji –
Segala kerja bermacam-macam lagi
Mereka kerjakan untuk mendapat rezeki.

Mengapa orang kita kurang sekali di situ?
Dalam seratus tak nampak satu!
Mengapa suka melatu, menjadi kutu?
Mengapa tak masuk berlumba dengan mereka itu
Untuk membaiki nasib, meningkatkan mutu?

II
Ah, malang anak-anak kaum bangsaku!
Tak tahu berniaga – tak mahu pun juga!
Di medan perniagaan sentiasa kekalahan, ketinggalan,
Sentiasa tak maju, tak jalan!
Sentiasa tak untung – termakan ke pangkal, termengkelan!

Di mana maruah kelaki-lakiannya?
Di mana kebanggaan bangsanya?
Di gaya yang segak, di poket melayang!
Di pangkat makan gaji, di kedai hutang!
Di perangai boros, tak tahu menyimpan! – menyimpang!
Di sanalah nama Melayu tersadai, tergadai!

III
Mereka yang berlumba itu
Bukan semuanya berjaya nombor satu;
Tetapi mereka berusahaaa mencuba,
Tidak hanya memandang dengan iri hiba,
Tidak dengaan putus asas, putih mata!

Banyak mereka itu yang sudah sampai,
Banyak yang sudah mencapai
Kemewahan hidup di mayapada,
Sebab banyak yang masuk mencuba,
Yang lain-lain walau tak menang
Terus juga mencuba dengan tenang!

Tetapi kita? …
Tetap tinggal di belakang, sekadar memandang!
Jauh lagi dari mencapai – bahkan dari mencuba
Kalau mencuba pun jarang-jarang pernah tiba!
Bagaimanakah kita mengaku lebih atau sama?

IV
Pesan Betara Guru:
Kalau hendak mendapat,
Jangan takut bersusah payah, lelah penat,
Jangan hanya hendak selalu senang:
Kerja, kerja! Hemat, ingat, jimat, cermat –
Brersedia payung sebelum hujan,
Di situlah sahaja jalan selamat!

Jangan mudah tawar hati,
Jangan mengenal jemu bosan,
Menghadapi segala halangan kepayahan
Dalam sebarang percubaan.
Cuba laagi, cuba lagi …
Jangan lemah semangat, hilang hangat:
Lambat bangat beroleh nikmat.

(Z. 25 Oktober 1960)
Dipetik daripada Kalung Bunga Za’aba.

Posted from WordPress for BlackBerry.

Tinggalkan komen

Filed under Isu