Saya Melayu Johor, Saya UMNO, Saya OK

"Kepada Allah Berserah"

4.49 pagi, tanggal 22 April 2011. Mata telah segar bugar dan degil untuk tidur. Bila membuka Facebook dan Googling ala kadar saja, perasaan terbuku hanya Tuhan saja yang tahu… Kenapa UMNO saja yang dipersalah? Dicaci dan dimaki? Dihentam tanpa belas? Di sini, anak Melayu Johor mahu meluah gelodak rasa! 

Saya anak JATI JOHOR. Bukan bersifat kenegerian, tetapi pada saya, inilah tunjang yang mengukuhkan jati diri. Kebanggaan pada bangsa tidak membuatkan saya buta dan tuli, tetapi sebaliknya meraikan kepelbagaian bangsa atau negeri yang lain. Campaklah saya di mana-mana, saya akan menyukai dan bergelumang dengan tradisi dan cara setempat.. tetapi dengan label JOHOR! Sajak MELAYU JOHOR, karya Usman Awang ini telah terpahat dalam jiwa juang:

MELAYU JOHOR
 
Melayu Johor
telah terlalu banyak kita kehilangan
sawah ladang bertukar tangan
pekan dan bandar kita menumpang
Teluk Belanga entah ke mana
yang tinggal hanyalah pakaian
sedarah sedaging hampir hilang
yang ada hanyalah setulang
Selat Tebrau kian sempit
hati rindu jauh tergamit.
 
Di Johor,
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar itu Melayu
Minangkabau memang Melayu
Aceh dan Siak adalah Melayu
Jakun dan Sakai lebih Melayu
Arab dan Turki pekat Melayu
Mamak dan Malbari jadi Melayu
malah Muallaf bertakrif Melayu.
 
Melayu itu maknanya bijaksana
“jika menipu pun bersopan”
kurang ajarnya tetap bersantun
dajalnya cukup selamba
budi bahasa jangan dikira
beraninya cukup benar
tunduk bila bersalah
“lembutnya cukup jantan”
setia sampai ke kubur
biar mati adat jangan mati sahabat.
 
Anak Johor,
luka di Tanjung Putri
parutnya di Parit Raja
muka biar berseri
mulut biar berbahasa.
 
Berkelahilah cara Melayu
menikam dengan pantun
menyanggah dalam senyum
marahnya dalam tertawa
merendah bukan menyembah
meninggi bukan melonjak.
 
Watak Melayu menolak permusuhan
jiwa Melayu mengangkat persahabatan
kasih sayang kekeluargaan
ringan tulang saling bertolongan
jujur memaafkan, ikhlas memberikan.
 
Berdamailah cara Melayu
silaturahim yang murni
di mulut sama di hati
maaf senantiasa bersahut
tangan dihulur bersambut
luka pun tidak lagi berparut.
 
Melayu Johor saudaraku yang dikasihi,
dalam kekeruhan ini carilah perdamaian
sifat terpuji setiap insan.
 
Bermuafakat supaya berkat
bersaudara dunia akhirat
berikhtiar dengan tabah
kepada Allah berserah.
 
USMAN AWANG
1988
 
Pernah tumpah airmata sekalian Melayu Johor mendengar, membaca dan menghayati sajak ini. Benar, di Johor tempat lahir UMNO. Benar, di Johor kubu kuat UMNO. Inilah yang kami namakan kesetiaan. Mungkin orang luar mengatakan kami orang-orang Johor bodoh dan bebal kerana menyokong UMNO yang sudah tidak lagi relevan hari ini. Mungkin orang luar menganggap menyokong UMNO adalah tradisi kekampungan. Mungkin kata orang luar, UMNO itulah pembawa segala kemusnahan dan kedurjanaan di Tanah Melayu ini.
 
Pedulikan semua itu, kami Melayu Johor akan tetap mempertahankan UMNO dan Sang Saka Bangsa walau seteruk mana dicaci dan dimaki. Yang salah adalah TANGAN-TANGAN KOTOR YANG PERNAH MEMIMPIN ATAU MEMEGANG TAMPUK UMNO, bukan UMNO! Telinga saya sudah cukup bernanah dengan cacian dan makian UMNO tidak betul; UMNO salah; UMNO rasuah; UMNO makan duit; ala UMNO!; UMNO itu dan UMNO ini… Namakan saja pemimpin yang korup dan mencemar nama baik UMNO, noktah. Bukan main tarik tali lagi. Zaman ini, pemimpin korup tidak perlu dibela atau dijaga kerana penyokong UMNO cuma ada 2 pilihan: KELANGSUNGAN UMNO atau MEMPERTAHANKAN PEMIMPIN. Saya pilih KELANGSUNGAN UMNO!
 
Jika ditinjau sejarah, Johor telah lama membangun di bawah Zaman Pemodenan Sultan Sir Abu Bakar dan Sultan Sir Ibrahim. Pembangunan yang Johor kecapi bukan disebabkan batu api-batu api yang melompat parti demi memuaskan nafsu serakah menjadi Perdana Menteri. Pembangunan yang Johor kecapi adalah didokongi oleh sebuah parti yang dinamakan UMNO. Walaupun tersebut al-kisah propaganda dalam Malaysiakini tempoh hari yang mengaitkan Iskandar Malaysia dengan nasib kaum pribumi Seletar, saya tak peduli! Terima kasih Iskandar Malaysia yang menjadi satu-satunya legasi KORIDOR EKONOMI zaman Pak Lah yang masih gah untuk terus ‘berdiri’!
 
Pegangan saya (dan saya fikir kebanyakan anak Melayu Johor) mudah: UMNO adalah perjuangan; dan perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata. Sekiranya dalam kotak pemikiran orang Malaysia pembangunan dan kejayaan mampu diukur oleh pembinaan menara-menara dan sesuatu yang terzahir, nah, di Johor kami ada semua! Sekiranya pembolehubah yang diukur bagi menentukan pembangunan dan kejayaan dalam kotak pemikiran orang Malaysia adalah pembasmian kemiskinan, maka kami boleh berbangga mengatakan setiap ceruk kampung kami geledah, setiap ceruk desa kami redah demi memastikan tidak ada satupun rakyat Johor yang diabaikan dan ditinggalkan kerana MISKIN!
 
Saat entri ini ditulis, saya berada di negeri pembangkang. Bukan kerana kempen masuk kampung membawa kesedaran perjuangan kepada kaum-kaum ibu seperti yang dilakukan oleh Ibu Zain dan Tun Fatimah Hashim. Bukan juga kerana ada Pilihan Raya Kecil. Tetapi atas dasar kerja. Profesionalisme mengajar saya untuk tidak mempamer warna: BIRU atau HIJAU. Profesionalisme juga mengajar saya untuk MELIHAT, MENGANALISIS, BERFIKIR, MENULIS dan BUAT! Melalui profesionalisme ini, saya melihat sebuah realiti dari akar umbi: KEGAGALAN atau KEMISKINAN rakyat bukan disebabkan oleh parti, tetapi oleh pihak-pihak yang selayaknya dipanggil PECACAI!
 
Pernah saya duduk sambil minum kopi dengan Penghulu Negeri (di negeri ini ada 2 penghulu – penghulu negeri dan persekutuan). Penghulu ini mengakui, banyak program pembasmian kemiskinan dijalankan dan digerakkan oleh Kerajaan Pusat, tetapi banyak juga tersangkut. Kenapa? Sekiranya peruntukan yang disalur dari atas adalah sebanyak 10 ringgit, bila tiba ke akar umbi, hanya 3 ringgit yang dapat dimanfaatkan. Kenapa? Tersangkut oleh “TOL” di setiap peringkat. Saya Melayu Johor, Saya UMNO, Saya OK mendengar kata-kata Penghulu ini.
 
Jangan! Jangan tuduh melulu dan membabi buta bahawa duit tersangkut dek orang-orang UMNO, tetapi seperti saya nyatakan tadi – PECACAI. Pecacai ini banyak jenis, tetapi sudah tentu orang gomen. Pecacai ini mereka yang terdiri daripada oportunis atau manusia yang mengambil kesempatan di atas kesempitan orang lain. Pecacai ini orang gomen (kerajaan) tapi terdiri daripada mereka yang  bukan jiwanya jiwa juang UMNO, tetapi sebaliknya jiwa uang (wang)! Tapi, UMNO juga dipersalah. Tak pernah pula bila kemakmuran diperolehi, pujian diberi: “Terima kasih, UMNO.”
 
Saya Melayu Johor, menyeru Melayu-melayu di luar sana: Melayu Melaka, Melayu Pahang, Melayu Kedah, Melayu Kelantan, Melayu Perak dan semua Melayu di negeri-negeri Malaysia untuk TIDAK MENGHUKUM UMNO. Sekiranya yang salah adalah ahli politik UMNO – nyatakan secara terbuka dan tunjukkan cara bagaimana. Sekiranya yang betul adalah ahli politik UMNO – berikan sokongan dan tunjukkan cara mengekalkannya. Zaman ini zaman mengurus persepsi. Zaman ini zaman berfikir dan menganalisis. Zaman ini bukan lagi zaman mencaci. Zaman ini zaman berbeza ideologi tetapi boleh duduk minum kopi, berdiskusi! Nak kutuk, beri bukti. Itu yang dikatakan rakyat negara merdeka yang matang di kala usia kemerdekaan bakal mencecah 5 setengah dasawarsa.
 
Saya Melayu Johor yang berkelana di negeri pembangkang. Saya UMNO, saya OK!
Advertisements

6 Komen

Filed under Isu

6 responses to “Saya Melayu Johor, Saya UMNO, Saya OK

  1. Needa

    Assalamualaikum….Ziq,
    Aku bangga kerana masih ada lagi anak muda spertimu yang masih utuh dengan jati diri i.e Johor dan Perjuanganmu…sayangnya…aku belum mampu untuk mengikut jejak langkahmu dek kerana kekangan tugas dan juga tanggungjawabku….Namun, aku tetap menyokong mereka yang berjuang demi agama, bangsa dan negara…aku berharap suatu hari nnti aku akan berjuang bersama-samamu… masih teringat lagi kata-kata Abahku mengenai UMNO dan Negeri Johor: katanya mengenai UMNO: Jgan dipersalahkan Parti itu….yang membuat Onar adalah orang2 di dalamnya…kenapa harus disalahkan Parti….orang2 didalamnya akan bersilih ganti…tetapi parti akan utuh selamanya..Dulu, Kini dan Selamanya…katanya pula mengenai Johor: Johor adalah kubu Kuat UMNO…pertahankan Ia…jgn sampai terlepas…tapi sayang..tidak ramai anak muda ingin menyambung warisan perjuangan UMNO…entah di mana silapnya….Mudah Mudahan aku diberikan kesempatan dan kekuatan untuk berjuang bersama-samamu Ziq….-Gems 03STC-

  2. محمد ڧردوس بن زكريا

    😉

  3. saya melayu johor, saya seorang islam, and saya juge UMNO!! and saya ok!! entry yang sungguh berwawasan…keep it up.. 🙂

  4. “Pecacai ini orang gomen (kerajaan) tapi terdiri daripada mereka yang bukan jiwanya jiwa juang UMNO, tetapi sebaliknya jiwa uang (wang)! Tapi, UMNO juga dipersalah. ”

    UMNO dipersalahkan kerana yang berjiwa wang tersebut adalah ahli ahli UMNO. Ahli ahli ini membawa nama dan mencerminkan parti. Jika ahli ahli UMNO berperangai seperti itu, makalah yang akan dapat nama adalah UMNO. Jatidiri pemimpin dan ahli UMNO sudah berubah. Masing masin ingin mendapatkan sesuatu menerusi parti, dari habuan pergi KL free ikut rombongan atau makan free semasa aktiviti parti hinggalah ke politik wang apabila pemilihan UMNO. Itu tak masuk lagi mereka yang sertai UMNO kerana inginkan projek dan fulus… mereka mereka yang ikhlas berjuang seperti zaman Tunku Abdul Rahman semakin pupus didalam UMNO. Sesungguhnya ahli ahli UMNO sendiri yang sedang mereputkan UMNO sehingga nama umno semakin busuk. Tun Dr. Mahathir pernah berkata “UMNO is rotten to the core”

  5. haziqahnasirah

    Waalaikumussalam Needa, maaf terlambat reply. Sebagaimana kita pernah berjuang atas nama STC03, maka besarlah harapan agar kita bakal berjuang atas nama UMNO dan Johor.
    Firdaus 🙂
    Cik Tetra: Kita Melayu Johor, kita Islam, kita UMNO, kita OK!!!
    Anak Perelih: terima kasih atas komen yg dihulurkan. Telah saya baca entri di blog Anak Perelih. Untuk menjawab apa yg Anak Perelih quote, saya quote kembali entri saya:
    “Zaman ini, pemimpin korup tidak perlu dibela atau dijaga kerana penyokong UMNO cuma ada 2 pilihan: KELANGSUNGAN UMNO atau MEMPERTAHANKAN PEMIMPIN. Saya pilih KELANGSUNGAN UMNO!”
    Telah saya tulis bahawa saya pilih kelangsungan UMNO. Pemimpin dan sesiapa sahaja yg korup tak harus diberi tempat. Anak Perelih, tidak semua.. tidak semua yg telah hilang jatidiri. Saya tahu, ramai yg masih cintakan UMNO dan ikhlas dalam berjuang di luar sana. Cuma mereka adalah orang-orang yg kecewa yg kemudian bertindak berpaling dari UMNO kerana tak kuasa. Tentang Tun M, saya hormat beliau dan menghargai jasa beliau, tapi tak semua yg dikatakan oleh beliau boleh kita hayati kerana kadangkala beliau juga kontradik.

  6. rizald0

    Assalamualaikum…
    Entry yang menarik…saya kagum dengan semangat yang saudari tunjukkan. Harap dapat lebih peluang untuk kongsi pendapat dengan saudari…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s