Kenapa Saya Tak Ambil Pot Tentang Dotdotdot

"Ambil pot?"

"Ambil pot?"

 Pagi yang hening di Kota Tinggi telah dipecahkan dengan bunyi bising kenderaan yang lalu-lalang untuk ke pejabat dan sekolah. Saya masih di rumah, hari untuk pulang ke Kota Lumpur. Pagi yang tenang yang tercemar dengan sedikit gelora emosi di hati tatkala terpampang berita tentang Nurul Izzah Anwar mencabar Najib Razak untuk berdebat di Yahoo News yang muncul di tetingkap komputer riba saya. Anwar lagi??? Lagi???

Sudah sudahlah semua orang. Baik politikus, baik blogger, baik penulis, baik wartawan, baik orang biasa mahupun pengunjung tegar kedai-kedai kopi nun di desa: hentikanlah bercerita tentang Anwar, hentikanlah fitnah Anwar, hentikanlah takut kepada Anwar dan hentikanlah menjaga tepi kain Anwar. Anwar cuma seorang manusia tertewas yang enggan menerima hakikat ketewasan!

Ketika saya masih di bangku sekolah rendah, saya membaca dan mengikuti kisah, rintihan, ucapan dan perjuangan Anwar. Saya pernah mengibar panji Keadilan yang saya arak di sekitar Bandar Kota Tinggi konon sebagai menyokong reformasi sana sini. Reformasi yang memperlihatkan pelajar universiti menjadi kuli. Kerajaan dihentam dicaci. MELAYU – berpecah-pecah! ISLAM – tinggal nama…

Ah, tak cukup lagikah? Apa yang dinamakan Sodomy I.. kemudian Sodomy II? Tak cukup lagi dengan drama sembunyi meminta perlindungan dalam kedutaan asing? Atau kronologi mencaci dan memburukkan negara di pentas dunia? Hari ini… bagai suatu tradisi, semua orang bergebang tentang Video Seks pemimpin pembangkang ini. Saya tak kata salah, tapi saya meluat dan menyampah. Termasuklah kepada orang-orang bertiga yang menuduh… Peribadi orang yang menuduh pun 2 kali 5, 5 kali 2 dengan Anwar. Kenapa siapa harus kita sandarkan sekelumit kepercayaan???

Walaupun saya sedar, menyokong kebenaran adalah PERJUANGAN, tetapi dalam kes tuduh menuduh tentang dotdotdot ini, saya tak ambil pot. Kenapa harus saya (dan saudara-saudara) membaca kisah berjela dalam Utusan, Berita Harian, Harakah, Malaysian Insider, Malaysiakini ataupun Sinar Harian tentang dotdotdot sedangkan isu-isu ekonomi dan sosial di luar sana masih tergendala dan meruncing? Harga ayam sudah mencecah RM 8 sekilo. Minyak masak ada kekurangan. Harga barang-barang dapur mendadak naik. Kes sakit mental berleluasa. Masalah sumbang mahram terus bernanah. Kenapa perlu kita halakan tumpuan sebesar lampu limpah stadium kepada Anwar dan si penuduh?!

Saya tak ambil pot bukan kerana saya orang muda yang hanyut dengan dunia muda sendiri. Saya tak ambil pot kerana saya orang muda yang KECEWA dengan permainan politik orang-orang sebelum saya. Liwat (atau tuduhan liwat) sana… khalwat (atau tuduhan khalwat) sini… tak termasuk tulisan mengeji dan balasan mencaci.

Saya tak ambil pot kerana saya percaya, banyak masa, tenaga dan wang ringgit telah dihabiskan untuk kes-kes tuduh menuduh seperti ini dengan pembentukan suruhanjaya dan sebagainya.

Kepada penyokong-penyokong akar umbi UMNO yang tidak punya apa-apa kecuali KECINTAAN kepada perjuangan Saka Bangsa seperti saya: tak perlu lagi pembunuhan karektor untuk Anwar kerana juak-juak dan penyokongnya tetap akan berdiri teguh menyokong. Tak perlu lagi berdebat tentang Anwar kerana itu hanyalah cerminan yang saudara-saudara takut dan cuak akan Anwar. Tak perlu lagi kita bicarakan tentang video seks dan bertegang urat mempertahankan orang yang menuduh kerana akar umbi dan orang muda hari ini takkan memberi undi kepada suatu ketidakadilan yang mereka percayai.

Saya yakin dan percaya, politik itu bukanlah tertumpu kepada tikam-menikam, tuduh-menuduh, maki-memaki, caci-mencaci atau bunuh-membunuh/terbunuh, sebaliknya politik adalah SENI PENTADBIRAN dan PEMERINTAHAN. Sesuatu yang berseni tidak harus dipersundalkan dengan kekotoran-kekotoran yang bisa mengotorkan. Sesuatu yang berseni tidak harus dipersetankan dengan sesuatu yang memusnahkan. Saya tak ambil pot tentang dotdotdot… 

Advertisements

Tinggalkan komen

Filed under Isu

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s